Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
Pertamanya, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izin-Nya, kita diberi peluang untuk bersama-sama meneruskan sesi persekolahan penggal kedua 2009.
Selamat datang dan selamat menimba ilmu di bumi wakafan SMK Saribas ini diucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 6 Rendah yang baru mendaftar masuk ke SMK Saribas. Selamat kembali kami ucapkan kepada semua pelajar senior selapas bercuti merehatkan minda selama dua minggu ini di rumah masing-masing. Setelah berehat seketika, kini tibalah masanya untuk kita kembali meneruskan perjuangan kita yang masih belum selesai didalam menuntut ilmu...
Saya bagi pihak exco mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli PERTINA SMK SARIBAS sekalian kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami untuk memimpin Persatuan Tingkatan Enam SMK Saribas pada sesi ini. Terima kasih juga diucapkan diatas sokongan dan penglibatan anda semua dalam PERTINA selama ini terutamanya dalam menjayakan Karnival Tingkatan Enam 2009, Pendaftaran Pelajar Baru 2009/2010, Hari Guru Sekolah dan aktiviti-aktiviti PERTINA yang lain.
Kami barisan pimpinan PERTINA SMK SARIBAS sesi 2008/2009 sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan kami ke arah yang lebih cemerlang di samping merapatkan lagi silaturrahim antara pimpinan PERTINA dengan ahli-ahli serta masyarakat amnya.
Rakan-rakan sekalian,
Bagi pelajar senior, keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun , semestinya sudah kita perolehi. Alhamdulillah..itulah ucapan yang perlu kita ucapkan setiap kali kita mendapat sebarang keputusan samada keputusan yang cemerlang ataupun kurang cemerlang.
Kepada rakan pelajar yang tidak memperolehi keputusan yang diharapkan,bersabarlah. Mungkin usaha yang kita lakukan tidak kuat dan tidak mantap. Mungkin kita kurang menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Selain itu,kita cuba muhasabah diri kita kembali.
Kami exco PERTINA SMK SARIBAS juga telah merancang pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun ini. Semua pelajar Tingkatan Enam dialu-alukan untuk menyertai aktiviti kami.
Buat sahabat-sahabat ahli PERTINA SMK SARIBAS yang dikasihi sekalian, teruskanlah menyokong segala usaha dan aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh kami sepanjang sesi ini. Siapalah kami tanpa sokongan kalian semua.
Sekian. Salam hormat.
AZMI BIN DEROS
PRESIDEN
PERSATUAN TINGKATAN ENAM
SMK SARIBAS SESI 2008/2009